Friday, May 5, 2017

Persimpangan Antara Dua Jalan a.k.a Salam Perkenalan


Bismillahirrahmanirrahim.

Pertama sekali saya panjatkan segala rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana Dialah yang mendetikkan hati saya untuk menulis setelah sekian bertahun lamanya menunggu-nunggu waktu yang paling afdhal lagi sesuai berdasarkan kelayakan fikrah saya yang masih setahun jagung di dalam dakwah dan tarbiah. Err. Dan pada hari ini saya mampu untuk mengungkapkan bahawa saya berbangga menjadi seorang muslim!

Penulisan yang saya maksudkan ini pada hakikatnya akan berorientasikan ilmu dan fikrah yang  boleh dihadam oleh seorang yang bergelar daie. Moga2 penulisan dalam blog ini juga turut dapat sama diamalkan berdasarkan hakikat kefahaman yang sebenar tentang setiap perkara dengan tepat. Setiap apa yang Allah gariskan di dalam Al-quran meliputi tujuan hidup manusia sehinggalah ke aspek beriman dengan perkara-perkara ghaib bakal disentuh oleh penulis. InsyaAllah, doakan. [1]

Sedikit mengenai latar belakang penulis, beliau adalah seorang yang dahagakan kebenaran, kebaikan, kebajikan tetapi pada awalnya tidak tahu untuk memilih prioriti atau jalan yang lebih baik diantara kebaikan-kebaikan tersebut yang secara jelasnya terbentang seluas langit dan bumi. 

Takdir Ilahi telah memilihnya untuk berada di dalam gerabak dakwah dan tarbiah, kumpulan pemuda yang ingin benar membangkitkan himmah dan hamassah setiap individu muslim untuk menegakkan islam dari asasnya iaitu melalui akidah yang benar serta keimanan yang menghunjam kukuh dengan tarbiah melalui Al-Quran dan As-Sunnah bermula dari individu.

Asas-asas ilmu islam sejak kecil tidaklah kurang hebatnya, penulis juga turut tercalon dalam kalangan bijak pandai yang sekular ketika di bangku persekolahan. Disebabkan kesedaran penulis yang bahawasanya manusia ini sifatnya ‘open system’, yang masuk adalah ilmu dan yang keluar hanyalah bahan buangan tidak terpakai, maka penulis merasakan perlunya kebangkitan atau kekuatan untuk mencari semula ilmu-ilmu asas yang telah hilang itu dengan kefahaman yang lebih mendalam serta membuahkan amal dan salah satu usahanya adalah dengan menulis.

Ibarat perlumbaaan Honda Jihad ke tempat daurah, ditengah-tengahnya pula ada persimpangan jalan, ‘highway’ atas atau bawah, hanya ada satu jalan sahaja yang betul untuk tiba ke lokasi kejadian. Lantas penulis memilih highway atas kerana mengikut kehendak nafsu tanpa dipandu oleh Google Map mahupun Waze yang secara jelasnya ada petunjuk yang sebenar.

Begitulah kehidupan awal saya yang berada di persimpangan antara dua jalan  iaitu sama ada hitam atau putih, kanan atau kiri, pahala atau dosa, syurga atau neraka. Tidak tahu yang mana harus dipilih. Perawan atau janda. Okay… syaitan mencelah.

Maka jalan tarbiah melalui kalam Ilahi serta jalan sunnatullah para Rasul lah jalan yang paling tepat. Fasa awal tarbiah di Mekah oleh Nabi SAW adalah tentang syahadah atau keyakinan akan wujudnya Allah SWT dan Rasul sebagai utusanNya serta tanggungjawab manusia selepas itu. Para sahabat yang sudah berikrar akan syahadah turut diceritakan tentang kitab, perkara ghaib seperti hari akhirat, syurga dan pahala. Maka tidak hairanlah sebilangan besar daripada mereka dipilih sebagai panglima perang mahupun khalifah selepas ketiadaan Rasulullah SAW.

Baiklah cerita masih panjang, ilmu tidak pernah habis ditulis. Maka harap sabar2 menunggu artikel selanjutnya.
InsyaAllah. Doakan.
5/5/2017


[1] Usul 1.

No comments:

Post a Comment